Monday, October 13, 2014

Sejarah

                    Warisan, Khazanah & Sejarah

Sumber: Sinar Harian 17 Oktober 2012
Warisan
Perak (Tok Karim)
Tok Karim Tokoh Yang Dilupakan

                     Kredit Foto: Sinar Harian
Sebelah kiri dikatakan makam Tok Karim manakala sebelah kanan milik anak seorang pemimpin berketurunan Raja
                     Kredit Foto: Sinar Harian
Tapak asal kediaman Tok Karim yang kini dibina sebuah rumah, namun ia terbiar tanpa penghuni.

Nama Abdul Karim Raja Aman Shah mungkin tidak sepopular tokoh dan ulama Tanah Melayu yang lain. Namun bagi penduduk Selama, nama Abdul Karim atau lebih dikenali sebagai Tok Karim, satu nama besar yang telah banyak menyumbang kepada pembangunan di kawasan itu.

Kesungguhan Tok Karim yang berasal dari Sumatera untuk membuka sebuah kampung di Utara Larut, menjadi titik tolak kepada kewujudan Kampung Selama yang dahulunya dikenali sebagai Kampung Selamat.

Kisahnya yang terus meniti di bibir masyarakat mendorong wartawan Normawati bersama Noor ‘Ainon meninjau ke Kampung Selama melihat sendiri peninggalan penuh makna Tok Karim kepada anak cucunya.

Dibuka pada 22 Januari 1870 Masihi bersamaan 14 Muharam 1290 Hijrah, pengembaraan Kampung Selama bermula apabila Tok Karim bersama rombongan memudiki Sungai Kerian menaiki sampan singgah di sebuah tempat bernama Tanjung Medan (Kampung Medan).

Kampung Medan ketika itu dikatakan berada di laluan tengah segi tiga antara Sungai Selama dan Sungai Kerian menyebabkan ramai berhijrah dan membina kediaman di sini.

Kepesatan penduduk di kampung Medan menyebabkan Tok Karim berpindah ke sebuah lagi lokasi yang kini dikenali sebagai Kampung Gudang.

Kampung Gudang ketika itu adalah tempat pelabuhan yang menjadi pusat pengumpulan barang-barang dagangan seperti pinang dan getah.

Apabila bijih timah ditemui di Kampung Selama, tapak pelabuhan di Kampung Gudang terus menjadi tumpuan yang menjadikan Sungai Kerian laluan utama dagangan.

Penemuan itu menyebabkan Tok Karim menjemput beberapa rakan dan orang keturunan Rawa dari Sumatera serta orang Cina memajukan perusahaan bijih timah secara mendulang dan pam kerikil.

Salah seorang yang tampil membantu kelancaran pentadbiran Tok Karim di Selama adalah rakan baiknya sendiri iaitu Abdul Malik atau lebih dikenali sebagai Lebai Talun.

Sebaik berlaku kemerosotan hasil bijih pada 1888, Kampung Selama yang dahulunya adalah sebuah daerah di Perak diserahkan kepada Inggeris.

Selepas empat tahun Selama dipemerintah Inggeris, Tok Karim yang pernah dilantik sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri di bawah pemerintahan Raja Yusuf menghembuskan nafas terakhirnya.

Jenazahnya dikebumikan di sebuah tanah perkuburan berhampiran Masjid Lama Selama yang kini dikenali sebagai Masjid Abdul Karim.

Legasi pentadbiran Tok Karim diteruskan oleh keturunan dan waris Lebai Talun.

Salah seorang daripada mereka yang berjaya dijejaki adalah cicit Lebai Talun iaitu Ahmad Fuade Abdul Wahid, 69.
 
Kumpul dana bina masjid

Keprihatinan Tok Karim terhadap perkembangan Islam di kawasan itu dizahirkan dengan hasratnya untuk membina sebuah masjid.

Ahmad Fuade berkata, dengan persepakatan bersama antara pemimpin dan penduduk kampung, satu tabung khas diwujudkan untuk mengutip dana daripada mereka yang berketurunan Rawa.

Apa yang istimewa, tabung berkenaan bukan sahaja digerakkan di seluruh Selama, bahkan kutipan turut dilancar sehingga ke negeri lain termasuk Raub, Pahang.

Masjid Tok Karim kini turut menempatkan Taski Al Hidayah yang menjadi tempat pembelajaran lebih 50 kanak-kanak.

"Kini masjid ini semakin sepi dengan kewujudan Masjid Ar Rashidah yang terletak di Pekan Selama namun masih diimarahkan dengan aktiviti keagamaan,” katanya.

Misteri Makam Berkembar Tok Karim
 
Oleh kerana tiada rujukan yang sahih untuk penulis mendapatkan gambaran sebenar makam Tok Karim, saya mengandaikan makam tokoh pemimpin dan ulama terkenal ini pastinya ‘bersendirian’.

Namun agak terkejut apabila mendapati ada sepasang lagi batu nisan yang diletakkan bersebelahan dengan makam Tok Karim.

Mengikut cerita Ahmad Fuade, makam yang terletak bersebelahan Tok Karim adalah milik anak seorang pemimpin yang berketurunan Raja.

Menurutnya, oleh kerana pemimpin ini dihormati penduduk, maka jasad anaknya disemadikan hampir dengan makam Tok Karim.

Perkhabaran bahawa makam Tok Karim mempunyai keistimewaan ‘luar biasa’, menyebabkan orang ramai dari setiap pelusuk negeri datang menziarahi makam berkenaan.

“Ada yang datang menuntut ilmu, tidak kurang juga mereka yang datang untuk menunaikan nazar, namun daripada apa yang saya ketahui, kebanyakan orang menjadikan makam ini sebagai tempat berubat,” katanya.
 
"Arwah cicit rapat dengan Tok Karim'

Usaha penulis menjejaki keluarga Abdul Karim, iaitu anak sulung Sutan (cucu Tok Karim) tidak begitu sukar apabila kediaman mereka hanya terletak kira-kira 10 meter dari tempat persemadian Tok Karim.

Abdul Karim yang meninggal dunia tujuh tahun lalu akibat kencing manis meninggalkan seorang isteri, Zaiton Ahmad, 65, serta lima anak.

Zaiton ketika ditemui mengakui, arwah suaminya sangat rapat dengan makam Tok Karim.
Menurutnya, boleh dikatakan hampir setiap hari, Allahyarham Abdul Karim akan mengunjungi makam berkenaan dan membersihkan kawasan itu.

“Membaca Yasin satu rutin yang tidak pernah dia lupakan setiap kali mengunjungi makam Tok Karim, malah dalam seminggu sekali, kami akan buat kenduri tahlil dan doa selamat untuk Tok Karim,” katanya.

Meskipun cerita-cerita ketokohan Tok Karim seakan semakin tenggelam di telan zaman, waris yang ditinggalkan tidak pernah melupakan asal usul keturunan apabila ada usaha dilakukan mendokumentasikan keturunan mereka dalam sebuah buku.

Zaiton berkata, salasilah keluarga Tok Karim kini dibukukan dan menjadi simpanan bersejarah buat mereka.

Perasaan penulis untuk melihat sendiri salasilah yang pastinya begitu bermakna itu terbantut apabila dimaklumkan ia kini berada dalam simpanan saudara mara mereka di Johor dan Kuala Lumpur.

Senjata Peninggalan

Sebagai waris terdekat Tok Karim, Zaiton mengakui, arwah suaminya ada menyimpan senjata lama seperti keris, pedang, lembing, tombak dan gong milik Tok Karim.

Menurutnya, semua senjata itu sudah menjangkau ratusan tahun dan tersimpan kukuh di sebuah rumah di Kampung Gudang (ketika itu).

“Tetapi sejak arwah tiada, semua peralatan dijagwaris yang lain, ada juga sebahagiannya sudah hilang dicuri, rumah di Kampung Gudang dahulu tiada orang yang jaga, jadi mudah orang memecah masuk,” katanya.

Berkesempatan menjaga dan melihat sendiri senjata lama yang digunakan Tok Karim suatu ketika dahulu, Zaiton berkata, hampir setiap senjata yang ditinggalkan mempunyai keunikannya tersendiri.

Zaiton akui berasa berbangga kerana menjadi sebahagian ahli keluarga seorang tokoh ulama dan pentadbir yang disegani di Selama.

                            -TAMAT-

No comments:

Post a Comment