Monday, October 13, 2014

Sejarah

                                  Warisan, Khazanah & Sejarah

Sumber: Harian Metro 23 Jun 2012

Sejarah (Asal Usul Kampung)
Negeri Sembilan (Kampung Kondok)
Sempena Nama Bunga


Mulanya kampung ini diberi nama elok iaitu Pondok Hilir, tetapi kemudian digantikan dengan nama yang dianggap lucu iaitu Kampung Kondok.
Mengapa ia dipanggil Kondok masih menjadi tanda tanya. Tiada penjelasan mengenainya sejak kampung yang terletak di Nilai, Negeri Sembilan ini dibuka pada 1876.
Mengikut sejarahnya, Kampung Kondok diterokai masyarakat Jawa dan Minangkabau dari Indonesia. 
Mereka adalah perantau dan ramai juga datang ke situ untuk bekerja membina landasan kereta api milik penjajah Britain. 
Ketika itu, banyak pondok didirikan di sekitar kawasan kampung ini. Pondok berkenaan adalah kediaman pekerja yang membina landasan kereta api waktu itu.
Lama-kelamaan, pondok berkenaan berubah menjadi kediaman tetap mereka, dan sejak itu ia bertukar menjadi perkampungan.
Sebilangan penduduk ketika itu mahu menamakan kampung itu sebagai Kampung Pondok Hilir kerana ramai penduduk tempatan berdekatan penempatan itu menamakannya sedemikian. 

Namun, majoriti penduduk asal tidak bersetuju nama itu dikekalkan lalu digantikan dengan Kondok. Pada asal pembukaannya, hanya ada 45 rumah di perkampungan itu. 

Ada yang mengatakan nama Kondok diberi oleh penduduk Jawa di situ. Ia mungkin diambil sempena nama sejenis bunga iaitu enceng kondok yang tumbuh di sungai. 

Penduduk, Sulaiman Abu Bakar, 72 mengakui tiada kisah jelas yang menceritakan bagaimana Kampung Kondok mendapat namanya. 

“Sejak mendiami kampung ini, saya hanya mengetahui kampung ini sepatutnya diberi nama kampung Pondok Hilir, namun ditukar atas muafakat orang kampung masa itu. 

“Lucu juga, sepatutnya nama Pondok Hilir lebih molek, tetapi orang kampung lebih suka memilih nama Kondok,” katanya yang juga ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Kondok. 

Apapun, kata Sulaiman, walaupun kedengaran lucu, beliau yakin pasti ada sebab di sebalik pengambilan nama itu. 

“Mungkin nama itu membawa maksud tertentu, atau mungkin juga masa itu ia membawa tuah,” katanya. 

Sulaiman berkata, kini kampung itu semakin ‘sunyi’ berbanding 1970-an dan lebih ramai didiami orang yang sudah lama pencen. 

“Orang muda mana nak duduk kampung lagi. Semua nak duduk di bandar Seremban dan juga Kuala Lumpur. 

“Untuk orang tua seperti saya, memang seronok duduk di sini. Mana tidaknya, rata-rata orang seusia saya masih menetap di sini, semuanya sudah pencen,” katanya. 

Lebih lanjut lagi, Kampung Kondok terletak 22 kilometer (km) dari Bandar Seremban dan lebih kurang empat km dari pekan Nilai dan Labu. 

Ia juga terletak berhampiran Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) dan tidak jauh dari Kajang dan Bangi, Selangor. 

Rata-rata penduduk di situ melakukan kerja-kerja kampung seperti berkebun dan menanam pokok buah-buahan. 

Ada juga penduduknya yang terbabit dengan pertanian berskala kecil serta aktiviti perladangan kelapa sawit.  
Fakta:


  • Kampung Kondok, Nilai, Negeri Sembilan 
  • Dibuka pada 1876 
  • Asalnya nama kampung ini dipanggil Pondok Hilir, kemudian ditukar kepada 
    Kampung Kondok pada awal pembukaannya 
  • Ia terletak 22 kilometer (km) dari bandar Seremban dan empat km dari pekan Nilai dan Labu 
  • Rata-rata penduduknya melakukan kerja kampung seperti berkebun dan menanam pokok buah-buahan 
  • Ada juga yang terbabit dengan pertanian berskala kecil serta aktiviti perladangan kelapa sawit

  •                               -TAMAT-

    Link: http://www2.hmetro.com.my/articles/Sempenanamabunga/Article

    No comments:

    Post a Comment