Monday, October 13, 2014

Sejarah

                               Warisan, Khazanah & Sejarah

Sumber: Sinar Harian 21 Mei 2014
Sejarah (Asal Usul Kampung)
Selangor (Kampung Sungai Chinchin)
Insiden cincin tercicir jadi nama kampung

                      Kredit Foto: Sinar Harian
Wartawan melawat makam Shaikh Mohamad Nor.
                        Kredit Foto: Sinar Harian
Madrasah terawal di Kampung Sungai Chinchin.
                         Kredit Foto: Sinar Harian
Beduk di madrasah.
Menyusuri sepanjang jalan Gombak Lama menghala ke Bentong, Pahang, penulis ditemukan dengan nama papan tanda Kampung Sungai Chinchin. Pastinya terdapat satu kisah menarik di sebalik nama kampung ini yang terletak kira-kira 13 kilometer dari pinggir bandaraya Kuala Lumpur.

Dengan kesuntukan masa dan terhad pada Jumaat lalu, penulis mengambil keputusan untuk mengetahui kisah di sebalik nama Kampung Sungai Chinchin berhampiran Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Gombak. Kami bernasib baik apabila berjaya menyelongkar kisah Kampung Sungai Chinchin setelah bertemu pewaris pengasas kampung ini, Yahya Mohd Thamrin, 73, dengan bantuan Pengerusi Jawatankuasa dan Keselamatan Kampung (JKKK), Khazari Mat. 

Sejarah perkampungan Kampung Sungai Chinchin bukanlah wujud dengan sendiri tetapi nilai sejarah yang ditinggalkan oleh pengasasnya, Shaikh Mohd Nor Al Khalidi memberi imej tersendiri perkampungan ini.

Imej Islam yang ditinggalkan meresap jauh kepercayaan penduduk di mana beberapa bukti ajaran Islam yang dibawa oleh Shaikh Mohd Nor jelas dapat dilihat sehingga hari ini.

Meskipun tiga hingga empat generasi silih berganti, imej Kampung Sungai Chinchin terus dipertahankan sehingga menjadi contoh kepada masyarakat luar terhadap budaya dan warisan yang terus dipelihara dengan baik.

Buktinya, Masjid Kampung Sungai Chinchin menyimpan khazanah sejarah yang sangat berharga seiring dengan pembukaan kampung ini sekitar tahun 1894.

Pembukaan madrasah, masjid, tali air, jambatan kayu, kubur contoh ,lokap tahanan dan makam pengasas kampung ini antara beberapa tinggalan Shaikh Mohd Nor sebagai pengajaran dan dakwah yang di bawa olehnya.

Beduk yang diciptanya juga masih gagah berbakti dan dipelihara penduduk setempat dan syiling dakwah masih disimpan rapi oleh salah seorang cucunya.

Siapa Shaikh Mohd Nor?

Shaikh Mohd Nor dihormati masyarakat kerana ketinggian ilmunya dan banyak menabur jasa dalam dakwahnya dan kepesatan pembangunan di kampung ini.

Beliau berketurunan Mendeleng dan berasal dari Penyambongan di bahagian Sumatera Utara Indonesia dan membuka Kampung Sungai Chin Chin 10 tahun selepas ketibaan  di Tanah Melayu ketika berhijrah bersama ulama sufi iaitu adik angkatnya Syeikh Zainal Abidin dan dua ulama lain.

Namanya juga turut dikatakan tersenarai sebagai tujuh Wali Melayu, sebaris nama-nama ulama terkenal seperti Tok Kenali, Tokku Paloh, dan Tn Hussein Kedah Al-Banjari.

Sumber juga mengatakan bahawa Kampung Sungai Chinchin merupakan sebidang tanah kurniaan Sultan Selangor kepada beliau.

Cucunya, Yahya berkata, beliau tidak sempat mengenali datuknya (Shaikh Mohd Nor) dengan lebih dekat dan hanya mengetahui serba sedikit keperibadian Shaikh Mohd Nor dari penceritaan keluarga.

"Shaikh Mohamad Nor mula berhijrah di Gombak seawal usia 24 tahun sekitar 1885 bersama empat rakan karibnya yang kemudian berpecah dengan niat mengubah kehidupan yang lebih baik dan dalam masa sama menyebarkan dakwah Islam.

"Sepanjang 30 tahun menetap dan membuka perkampungan Sungai Chinchin sebelum meninggal dunia ketika usia 54 tahun, banyak jasa dan pembangunan dilakukan oleh datuk saya.

"Antaranya adalah pembukaan madrasah yang dahulunya merupakan pusat ilmu anak-anak kampung menuntut ilmu agama, tali air, jambatan kayu, kubur contoh dan lokap tahanan," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Sungai Chinchin.

Jelas Yahya, penemuan nama Kampung Sungai Chinchin juga mempunyai kaitan dengan Shaikh Mohd Nor apabila sebentuk cincin telah tercicir oleh seorang pengunjung yang melalui sungai ini berjaya ditemui oleh dengan tongkatnya.

"Bagaimana datuknya berjaya menemui cincin tersebut dengan mencucuknya menggunakan tongkat tidak dapat digambarkan dengan jelas kerana mungkin dengan adanya ilmu yang dipelajari oleh Shaikh Mohd Nor.

"Begitulah kampung ini mendapat namanya ,"katanya.

Yahya berkata, bagaimanapun, dia mempunyai hasrat berkongsi dengan masyarakat dan mengetengahkan warisan kampung tersebut sejak dari muda lagi untuk dikongsi bersama generasi akan datang.

“Saya minat mengumpulkan maklumat tentang sejarah pembukaan kampung ini sejak zaman sekolah lagi tapi tak tahu saluran mana untuk ke arah itu selain sumber maklumat yang terhad.

“Ramai juga waris (keluarga) yang turut berminat untuk mengumpulkan fakta tinggalan sejarah dan saya tidak risau kerana yakin warisan itu akan terus dipelihara dan dikekalkan.

"Sewaktu saya muda dahulu, saya juga rajin terlibat dengan pameran berkongsi nilai sejarah tinggalan datuk, namun aktiviti tersebut dikurangkan disebabkan masalah kesihatan,” katanya.


                                 -TAMAT-

Link: http://www.sinarharian.com.my/insiden-cincin-tercicir-jadi-nama-kampung-1.316674

No comments:

Post a Comment