Monday, October 13, 2014

Sejarah

                              Warisan, Khazanah & Sejarah

Sumber: Berita Harian 31 Oktober 2010

Sejarah (Asal Usul Kampung)
Terengganu (Kampung Imam Lapar)
Imam Lapar di Terengganu?

                          Kredit Foto: Berita Harian
Desa di Mukim Telemong berkait rapat kisah pedagang dan perkataan 'laper' atau hafaz

Benarkah ada peristiwa berlakunya kejadian imam yang lapar di Terengganu sehingga memungkinkan satu tempat diperuntukkan dengan kejadian berkenaan? 

Apa yang pasti, nama Kampung Imam Lapar di Mukim Telemong, Kuala Berang, memang wujud dan menjadi tanda tanya terutama bagi orang luar dari kampung itu dan luar Terengganu kerana nama kampung itu seperti benar-benar menggambarkan sejarah kampung itu mempunyai imam yang hidupnya sentiasa dalam kelaparan. 

Kampung Imam Lapar terletak kira-kira 23 kilometer dari Kuala Terengganu dan kira-kira 22 kilometer dari Kuala Berang dan mudah dihubungi. Lokasinya juga tidak sukar untuk dicari kerana terletak di tepi jalan utama antara Kampung Besah dan Kampung Kuala Telemong. 

Ketika diminta menceritakan bagaimana sejarah kampung itu dinamakan Kampung Imam Lapar, Ramlah Mat Zin, 60, antara penduduk asal kampung itu, berkata daripada apa yang diceritakan secara turun temurun oleh nenek moyang sehingga kepada arwah ayahnya, Mat Zin Mamat, ia bermula dengan kisah dua pedagang. 

Mereka menaiki perahu dari muka Kuala Sungai Telemong menyusuri sungai itu untuk mudik ke hulu dengan membawa barangan seperti beras dan ikan masin untuk dijual kepada penduduk kampung di sepanjang tebing sungai itu. Setibanya di kampung itu yang ketika itu tiada nama, mereka berdua singgah di Pengkalan Rengas Sembilan dan menaiki tebing untuk mencari makanan kerana lapar. 

“Pedagang itu ke surau yang terletak di tepi tebing pengkalan berkenaan untuk mencari rumah bagi mendapatkan makanan dan api, tetapi mendapati imam sedang khusyuk menghafaz al-Quran.
“Mereka dikatakan sempat menyatakan kepada imam bahawa mereka lapar sebelum beredar kembali menaiki perahu menyusuri sungai itu. Mungkin imam tidak sedar ada orang datang dan memberitahu imam, dia lapar kerana khusyuk membaca al-Quran ketika itu,” katanya. 

Bagaimanapun, kata Ramlah, akibat terlalu lapar, dua pedagang itu dikatakan singgah pula di satu lagi jeti dan ke surau yang terbukti surau sama. Imam itu masih lagi menghafaz al-Quran, lalu mereka terus beredar. 

“Kemungkinan peristiwa itu diceritakan oleh pedagang itu kepada orang lain bahawa dia memberitahu imam, lapar tetapi imam itu terus ‘laper’ (menghafaz) al-Quran. Jadi, dari situlah kemungkinan itulah asal usulnya nama Kampung Imam Lapar ini.

 Yang pasti bukan imam itu yang lapar, tetapi pedagang itu yang lapar. Sukar dipastikan sejauh mana benarnya cerita itu saya dengar cerita ini daripada arwah bapa," katanya yang mendakwa kisah itu berlaku lebih 100 tahun lalu. 

Seorang lagi penduduk asal, Abdullah Mat Amin, 72, berkata dia sendiri tidak pasti sejauh mana benarnya kisah itu, tetapi memang berkisar mengenai dua pedagang mencari makanan dan bahan api. 

“Sebutan perkataan laper di zaman dulu bagi masyarakat pedalaman di negeri ini sama maknanya dengan menghafaz dan kebetulan perkataan itu pula bunyinya sama dengan lapar. 

“Jadi, mungkin untuk ambil mudah kalau sebut pasal kampung ini, orang akan sebut perkataan Kampung Imam Laper - (menghafaz al-Quran),” katanya. 

Apa yang pasti, seperti diakui Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) kampung itu, Samad Rani, ada pihak yang mencadangkan supaya nama Kampung Imam Lapar itu ditukar agar tidak berkaitan imam yang diketahui orang alim yang dihormati. 

“Setakat ini, kami penduduk tidak bercadang untuk menukar nama itu kerana ia sesuatu yang unik dan orang ramai mudah mengingatinya. Apalagi, sebenarnya asal usul sejarah kampung ini tiada kaitan dengan kejadian tok imam lapar,” katanya. 

Samad berkata, kampung ketika ini didiami oleh 60 keluarga yang membabitkan kira-kira 350 penduduk dengan 80 peratus daripadanya adalah bekerja kampung termasuk menoreh getah dan bertani. 

Seperti perkampungan lain di luar bandar, Kampung Imam Lapar ini turut dilengkapi kemudahan asas jalan tar dan elektrik dengan sumber airnya berasaskan telaga tiub. 

Antara kemudahan asas lain yang ada di kampung itu sekarang ialah sebuah balai raya yang baru bernilai RM90,000 dan siap kira-kira tiga bulan lalu yang dibina kerajaan negeri, bangunan JKKK dan juga dilengkapkan dengan Tadika KEMAS untuk kemudahan pendidikan pra sekolah anak-anak penduduk serta sebuah surau yang dikatakan ada kaitan dengan sejarah terjadinya nama Kampung Imam Lapar.

                         -TAMAT-


Sejarah

                                  Warisan, Khazanah & Sejarah

Sumber: Harian Metro 23 Jun 2012

Sejarah (Asal Usul Kampung)
Negeri Sembilan (Kampung Kondok)
Sempena Nama Bunga


Mulanya kampung ini diberi nama elok iaitu Pondok Hilir, tetapi kemudian digantikan dengan nama yang dianggap lucu iaitu Kampung Kondok.
Mengapa ia dipanggil Kondok masih menjadi tanda tanya. Tiada penjelasan mengenainya sejak kampung yang terletak di Nilai, Negeri Sembilan ini dibuka pada 1876.
Mengikut sejarahnya, Kampung Kondok diterokai masyarakat Jawa dan Minangkabau dari Indonesia. 
Mereka adalah perantau dan ramai juga datang ke situ untuk bekerja membina landasan kereta api milik penjajah Britain. 
Ketika itu, banyak pondok didirikan di sekitar kawasan kampung ini. Pondok berkenaan adalah kediaman pekerja yang membina landasan kereta api waktu itu.
Lama-kelamaan, pondok berkenaan berubah menjadi kediaman tetap mereka, dan sejak itu ia bertukar menjadi perkampungan.
Sebilangan penduduk ketika itu mahu menamakan kampung itu sebagai Kampung Pondok Hilir kerana ramai penduduk tempatan berdekatan penempatan itu menamakannya sedemikian. 

Namun, majoriti penduduk asal tidak bersetuju nama itu dikekalkan lalu digantikan dengan Kondok. Pada asal pembukaannya, hanya ada 45 rumah di perkampungan itu. 

Ada yang mengatakan nama Kondok diberi oleh penduduk Jawa di situ. Ia mungkin diambil sempena nama sejenis bunga iaitu enceng kondok yang tumbuh di sungai. 

Penduduk, Sulaiman Abu Bakar, 72 mengakui tiada kisah jelas yang menceritakan bagaimana Kampung Kondok mendapat namanya. 

“Sejak mendiami kampung ini, saya hanya mengetahui kampung ini sepatutnya diberi nama kampung Pondok Hilir, namun ditukar atas muafakat orang kampung masa itu. 

“Lucu juga, sepatutnya nama Pondok Hilir lebih molek, tetapi orang kampung lebih suka memilih nama Kondok,” katanya yang juga ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Kondok. 

Apapun, kata Sulaiman, walaupun kedengaran lucu, beliau yakin pasti ada sebab di sebalik pengambilan nama itu. 

“Mungkin nama itu membawa maksud tertentu, atau mungkin juga masa itu ia membawa tuah,” katanya. 

Sulaiman berkata, kini kampung itu semakin ‘sunyi’ berbanding 1970-an dan lebih ramai didiami orang yang sudah lama pencen. 

“Orang muda mana nak duduk kampung lagi. Semua nak duduk di bandar Seremban dan juga Kuala Lumpur. 

“Untuk orang tua seperti saya, memang seronok duduk di sini. Mana tidaknya, rata-rata orang seusia saya masih menetap di sini, semuanya sudah pencen,” katanya. 

Lebih lanjut lagi, Kampung Kondok terletak 22 kilometer (km) dari Bandar Seremban dan lebih kurang empat km dari pekan Nilai dan Labu. 

Ia juga terletak berhampiran Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) dan tidak jauh dari Kajang dan Bangi, Selangor. 

Rata-rata penduduk di situ melakukan kerja-kerja kampung seperti berkebun dan menanam pokok buah-buahan. 

Ada juga penduduknya yang terbabit dengan pertanian berskala kecil serta aktiviti perladangan kelapa sawit.  
Fakta:


  • Kampung Kondok, Nilai, Negeri Sembilan 
  • Dibuka pada 1876 
  • Asalnya nama kampung ini dipanggil Pondok Hilir, kemudian ditukar kepada 
    Kampung Kondok pada awal pembukaannya 
  • Ia terletak 22 kilometer (km) dari bandar Seremban dan empat km dari pekan Nilai dan Labu 
  • Rata-rata penduduknya melakukan kerja kampung seperti berkebun dan menanam pokok buah-buahan 
  • Ada juga yang terbabit dengan pertanian berskala kecil serta aktiviti perladangan kelapa sawit

  •                               -TAMAT-

    Link: http://www2.hmetro.com.my/articles/Sempenanamabunga/Article

    Sejarah

                                   Warisan, Khazanah & Sejarah

    Sumber: Sinar Harian 21 Mei 2014
    Sejarah (Asal Usul Kampung)
    Selangor (Kampung Sungai Chinchin)
    Insiden cincin tercicir jadi nama kampung

                          Kredit Foto: Sinar Harian
    Wartawan melawat makam Shaikh Mohamad Nor.
                            Kredit Foto: Sinar Harian
    Madrasah terawal di Kampung Sungai Chinchin.
                             Kredit Foto: Sinar Harian
    Beduk di madrasah.
    Menyusuri sepanjang jalan Gombak Lama menghala ke Bentong, Pahang, penulis ditemukan dengan nama papan tanda Kampung Sungai Chinchin. Pastinya terdapat satu kisah menarik di sebalik nama kampung ini yang terletak kira-kira 13 kilometer dari pinggir bandaraya Kuala Lumpur.

    Dengan kesuntukan masa dan terhad pada Jumaat lalu, penulis mengambil keputusan untuk mengetahui kisah di sebalik nama Kampung Sungai Chinchin berhampiran Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Gombak. Kami bernasib baik apabila berjaya menyelongkar kisah Kampung Sungai Chinchin setelah bertemu pewaris pengasas kampung ini, Yahya Mohd Thamrin, 73, dengan bantuan Pengerusi Jawatankuasa dan Keselamatan Kampung (JKKK), Khazari Mat. 

    Sejarah perkampungan Kampung Sungai Chinchin bukanlah wujud dengan sendiri tetapi nilai sejarah yang ditinggalkan oleh pengasasnya, Shaikh Mohd Nor Al Khalidi memberi imej tersendiri perkampungan ini.

    Imej Islam yang ditinggalkan meresap jauh kepercayaan penduduk di mana beberapa bukti ajaran Islam yang dibawa oleh Shaikh Mohd Nor jelas dapat dilihat sehingga hari ini.

    Meskipun tiga hingga empat generasi silih berganti, imej Kampung Sungai Chinchin terus dipertahankan sehingga menjadi contoh kepada masyarakat luar terhadap budaya dan warisan yang terus dipelihara dengan baik.

    Buktinya, Masjid Kampung Sungai Chinchin menyimpan khazanah sejarah yang sangat berharga seiring dengan pembukaan kampung ini sekitar tahun 1894.

    Pembukaan madrasah, masjid, tali air, jambatan kayu, kubur contoh ,lokap tahanan dan makam pengasas kampung ini antara beberapa tinggalan Shaikh Mohd Nor sebagai pengajaran dan dakwah yang di bawa olehnya.

    Beduk yang diciptanya juga masih gagah berbakti dan dipelihara penduduk setempat dan syiling dakwah masih disimpan rapi oleh salah seorang cucunya.

    Siapa Shaikh Mohd Nor?

    Shaikh Mohd Nor dihormati masyarakat kerana ketinggian ilmunya dan banyak menabur jasa dalam dakwahnya dan kepesatan pembangunan di kampung ini.

    Beliau berketurunan Mendeleng dan berasal dari Penyambongan di bahagian Sumatera Utara Indonesia dan membuka Kampung Sungai Chin Chin 10 tahun selepas ketibaan  di Tanah Melayu ketika berhijrah bersama ulama sufi iaitu adik angkatnya Syeikh Zainal Abidin dan dua ulama lain.

    Namanya juga turut dikatakan tersenarai sebagai tujuh Wali Melayu, sebaris nama-nama ulama terkenal seperti Tok Kenali, Tokku Paloh, dan Tn Hussein Kedah Al-Banjari.

    Sumber juga mengatakan bahawa Kampung Sungai Chinchin merupakan sebidang tanah kurniaan Sultan Selangor kepada beliau.

    Cucunya, Yahya berkata, beliau tidak sempat mengenali datuknya (Shaikh Mohd Nor) dengan lebih dekat dan hanya mengetahui serba sedikit keperibadian Shaikh Mohd Nor dari penceritaan keluarga.

    "Shaikh Mohamad Nor mula berhijrah di Gombak seawal usia 24 tahun sekitar 1885 bersama empat rakan karibnya yang kemudian berpecah dengan niat mengubah kehidupan yang lebih baik dan dalam masa sama menyebarkan dakwah Islam.

    "Sepanjang 30 tahun menetap dan membuka perkampungan Sungai Chinchin sebelum meninggal dunia ketika usia 54 tahun, banyak jasa dan pembangunan dilakukan oleh datuk saya.

    "Antaranya adalah pembukaan madrasah yang dahulunya merupakan pusat ilmu anak-anak kampung menuntut ilmu agama, tali air, jambatan kayu, kubur contoh dan lokap tahanan," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Sungai Chinchin.

    Jelas Yahya, penemuan nama Kampung Sungai Chinchin juga mempunyai kaitan dengan Shaikh Mohd Nor apabila sebentuk cincin telah tercicir oleh seorang pengunjung yang melalui sungai ini berjaya ditemui oleh dengan tongkatnya.

    "Bagaimana datuknya berjaya menemui cincin tersebut dengan mencucuknya menggunakan tongkat tidak dapat digambarkan dengan jelas kerana mungkin dengan adanya ilmu yang dipelajari oleh Shaikh Mohd Nor.

    "Begitulah kampung ini mendapat namanya ,"katanya.

    Yahya berkata, bagaimanapun, dia mempunyai hasrat berkongsi dengan masyarakat dan mengetengahkan warisan kampung tersebut sejak dari muda lagi untuk dikongsi bersama generasi akan datang.

    “Saya minat mengumpulkan maklumat tentang sejarah pembukaan kampung ini sejak zaman sekolah lagi tapi tak tahu saluran mana untuk ke arah itu selain sumber maklumat yang terhad.

    “Ramai juga waris (keluarga) yang turut berminat untuk mengumpulkan fakta tinggalan sejarah dan saya tidak risau kerana yakin warisan itu akan terus dipelihara dan dikekalkan.

    "Sewaktu saya muda dahulu, saya juga rajin terlibat dengan pameran berkongsi nilai sejarah tinggalan datuk, namun aktiviti tersebut dikurangkan disebabkan masalah kesihatan,” katanya.


                                     -TAMAT-

    Link: http://www.sinarharian.com.my/insiden-cincin-tercicir-jadi-nama-kampung-1.316674

    Sejarah

                                  Warisan, Khazanah & Sejarah

    Sumber: Sinar Harian 20 September 2014
    Warisan
    Kedah (Makam Kampung Pisang)
    Nasib Makam Kampung Pisang
                   
                           Kredit Photo: Sinar Harian 
    Fatimah menunjukkan keadaan makam tertentu yang makin rosak.

    Makam Kampung Pisang, dekat sini, memiliki nilai sejarah tersendiri, namun kini dikhuatiri terbiar dipenuhi lalang dan semak samun.

    Tinjauan mendapati, ada makam hampir roboh didakwa akibat tidak diselenggara baik, sekali gus kesudahan nasib beberapa makam akhirnya tinggal tanda tanya.

    Penduduk, Fatimah Hamzah, 63, berkata, beberapa makam di kampung berkenaan dalam keadaan baik dan cantik sekitar 40 tahun dahulu.

    “Kini, ia rosak akibat faktor tertentu. Adakala penduduk kampung bergotong-royong membersihkan kawasan makam ini, namun lalang tumbuh semula.

    “Tak silap, ia milik keturunan diraja ataupun guru agama raja zaman dahulu. Malah, ada satu makam milik anak dara bangsawan masih kukuh hingga kini,” katanya.

    Malah, menurutnya, dia tidak ketinggalan untuk membaca surah Al-Fatihah kepada si mati setiap kali melalui jalan berhampiran makam itu.

    Fatimah berkata, sekiranya makam bernilai sejarah sedemikian dipelihara, pastinya ia memberi manfaat kepada banyak pihak.

    “Sekiranya, ada orang diupah menjaga dan membersihkan semak samun di sekitar kawasan ini, makam itu tersebut pasti terpelihara,” katanya.

    Pengerusi Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah (PSMCK), Datuk Dr Wan Shamsudin Mohd Yusof berkata, memang masih ada makam dilihat terbiar di negeri ini.

    Menurutnya, dia berharap ada usaha pihak berkaitan membina pagar bagi memelihara dan memulihara sejarah makam Kampung Pisang berkenaan.

             -TAMAT-


    Sejarah

                        Warisan, Khazanah & Sejarah

    Sumber: Sinar Harian 17 Oktober 2012
    Warisan
    Perak (Tok Karim)
    Tok Karim Tokoh Yang Dilupakan

                         Kredit Foto: Sinar Harian
    Sebelah kiri dikatakan makam Tok Karim manakala sebelah kanan milik anak seorang pemimpin berketurunan Raja
                         Kredit Foto: Sinar Harian
    Tapak asal kediaman Tok Karim yang kini dibina sebuah rumah, namun ia terbiar tanpa penghuni.

    Nama Abdul Karim Raja Aman Shah mungkin tidak sepopular tokoh dan ulama Tanah Melayu yang lain. Namun bagi penduduk Selama, nama Abdul Karim atau lebih dikenali sebagai Tok Karim, satu nama besar yang telah banyak menyumbang kepada pembangunan di kawasan itu.

    Kesungguhan Tok Karim yang berasal dari Sumatera untuk membuka sebuah kampung di Utara Larut, menjadi titik tolak kepada kewujudan Kampung Selama yang dahulunya dikenali sebagai Kampung Selamat.

    Kisahnya yang terus meniti di bibir masyarakat mendorong wartawan Normawati bersama Noor ‘Ainon meninjau ke Kampung Selama melihat sendiri peninggalan penuh makna Tok Karim kepada anak cucunya.

    Dibuka pada 22 Januari 1870 Masihi bersamaan 14 Muharam 1290 Hijrah, pengembaraan Kampung Selama bermula apabila Tok Karim bersama rombongan memudiki Sungai Kerian menaiki sampan singgah di sebuah tempat bernama Tanjung Medan (Kampung Medan).

    Kampung Medan ketika itu dikatakan berada di laluan tengah segi tiga antara Sungai Selama dan Sungai Kerian menyebabkan ramai berhijrah dan membina kediaman di sini.

    Kepesatan penduduk di kampung Medan menyebabkan Tok Karim berpindah ke sebuah lagi lokasi yang kini dikenali sebagai Kampung Gudang.

    Kampung Gudang ketika itu adalah tempat pelabuhan yang menjadi pusat pengumpulan barang-barang dagangan seperti pinang dan getah.

    Apabila bijih timah ditemui di Kampung Selama, tapak pelabuhan di Kampung Gudang terus menjadi tumpuan yang menjadikan Sungai Kerian laluan utama dagangan.

    Penemuan itu menyebabkan Tok Karim menjemput beberapa rakan dan orang keturunan Rawa dari Sumatera serta orang Cina memajukan perusahaan bijih timah secara mendulang dan pam kerikil.

    Salah seorang yang tampil membantu kelancaran pentadbiran Tok Karim di Selama adalah rakan baiknya sendiri iaitu Abdul Malik atau lebih dikenali sebagai Lebai Talun.

    Sebaik berlaku kemerosotan hasil bijih pada 1888, Kampung Selama yang dahulunya adalah sebuah daerah di Perak diserahkan kepada Inggeris.

    Selepas empat tahun Selama dipemerintah Inggeris, Tok Karim yang pernah dilantik sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri di bawah pemerintahan Raja Yusuf menghembuskan nafas terakhirnya.

    Jenazahnya dikebumikan di sebuah tanah perkuburan berhampiran Masjid Lama Selama yang kini dikenali sebagai Masjid Abdul Karim.

    Legasi pentadbiran Tok Karim diteruskan oleh keturunan dan waris Lebai Talun.

    Salah seorang daripada mereka yang berjaya dijejaki adalah cicit Lebai Talun iaitu Ahmad Fuade Abdul Wahid, 69.
     
    Kumpul dana bina masjid

    Keprihatinan Tok Karim terhadap perkembangan Islam di kawasan itu dizahirkan dengan hasratnya untuk membina sebuah masjid.

    Ahmad Fuade berkata, dengan persepakatan bersama antara pemimpin dan penduduk kampung, satu tabung khas diwujudkan untuk mengutip dana daripada mereka yang berketurunan Rawa.

    Apa yang istimewa, tabung berkenaan bukan sahaja digerakkan di seluruh Selama, bahkan kutipan turut dilancar sehingga ke negeri lain termasuk Raub, Pahang.

    Masjid Tok Karim kini turut menempatkan Taski Al Hidayah yang menjadi tempat pembelajaran lebih 50 kanak-kanak.

    "Kini masjid ini semakin sepi dengan kewujudan Masjid Ar Rashidah yang terletak di Pekan Selama namun masih diimarahkan dengan aktiviti keagamaan,” katanya.

    Misteri Makam Berkembar Tok Karim
     
    Oleh kerana tiada rujukan yang sahih untuk penulis mendapatkan gambaran sebenar makam Tok Karim, saya mengandaikan makam tokoh pemimpin dan ulama terkenal ini pastinya ‘bersendirian’.

    Namun agak terkejut apabila mendapati ada sepasang lagi batu nisan yang diletakkan bersebelahan dengan makam Tok Karim.

    Mengikut cerita Ahmad Fuade, makam yang terletak bersebelahan Tok Karim adalah milik anak seorang pemimpin yang berketurunan Raja.

    Menurutnya, oleh kerana pemimpin ini dihormati penduduk, maka jasad anaknya disemadikan hampir dengan makam Tok Karim.

    Perkhabaran bahawa makam Tok Karim mempunyai keistimewaan ‘luar biasa’, menyebabkan orang ramai dari setiap pelusuk negeri datang menziarahi makam berkenaan.

    “Ada yang datang menuntut ilmu, tidak kurang juga mereka yang datang untuk menunaikan nazar, namun daripada apa yang saya ketahui, kebanyakan orang menjadikan makam ini sebagai tempat berubat,” katanya.
     
    "Arwah cicit rapat dengan Tok Karim'

    Usaha penulis menjejaki keluarga Abdul Karim, iaitu anak sulung Sutan (cucu Tok Karim) tidak begitu sukar apabila kediaman mereka hanya terletak kira-kira 10 meter dari tempat persemadian Tok Karim.

    Abdul Karim yang meninggal dunia tujuh tahun lalu akibat kencing manis meninggalkan seorang isteri, Zaiton Ahmad, 65, serta lima anak.

    Zaiton ketika ditemui mengakui, arwah suaminya sangat rapat dengan makam Tok Karim.
    Menurutnya, boleh dikatakan hampir setiap hari, Allahyarham Abdul Karim akan mengunjungi makam berkenaan dan membersihkan kawasan itu.

    “Membaca Yasin satu rutin yang tidak pernah dia lupakan setiap kali mengunjungi makam Tok Karim, malah dalam seminggu sekali, kami akan buat kenduri tahlil dan doa selamat untuk Tok Karim,” katanya.

    Meskipun cerita-cerita ketokohan Tok Karim seakan semakin tenggelam di telan zaman, waris yang ditinggalkan tidak pernah melupakan asal usul keturunan apabila ada usaha dilakukan mendokumentasikan keturunan mereka dalam sebuah buku.

    Zaiton berkata, salasilah keluarga Tok Karim kini dibukukan dan menjadi simpanan bersejarah buat mereka.

    Perasaan penulis untuk melihat sendiri salasilah yang pastinya begitu bermakna itu terbantut apabila dimaklumkan ia kini berada dalam simpanan saudara mara mereka di Johor dan Kuala Lumpur.

    Senjata Peninggalan

    Sebagai waris terdekat Tok Karim, Zaiton mengakui, arwah suaminya ada menyimpan senjata lama seperti keris, pedang, lembing, tombak dan gong milik Tok Karim.

    Menurutnya, semua senjata itu sudah menjangkau ratusan tahun dan tersimpan kukuh di sebuah rumah di Kampung Gudang (ketika itu).

    “Tetapi sejak arwah tiada, semua peralatan dijagwaris yang lain, ada juga sebahagiannya sudah hilang dicuri, rumah di Kampung Gudang dahulu tiada orang yang jaga, jadi mudah orang memecah masuk,” katanya.

    Berkesempatan menjaga dan melihat sendiri senjata lama yang digunakan Tok Karim suatu ketika dahulu, Zaiton berkata, hampir setiap senjata yang ditinggalkan mempunyai keunikannya tersendiri.

    Zaiton akui berasa berbangga kerana menjadi sebahagian ahli keluarga seorang tokoh ulama dan pentadbir yang disegani di Selama.

                                -TAMAT-