Sunday, June 15, 2014

Sejarah

                        Warisan, Khazanah & Sejarah

Sumber: Sinar Harian 21 Mei 2014
Warisan
Kedah (Istana Sepachendera)
Tanda cinta seorang suami

Istana Sepachendera
Jikalau satu antara tujuh keajaiban dunia, Taj Mahal di Agra, India adalah bukti cinta seorang lelaki, Raja Shah Jahan terhadap isterinya, Mumtaz Mahal.

Istana Sepachendera, di Jalan Kampung Baru, di sini, bukan hanya diberi nama, sebaliknya dibina khas Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah buat isterinya, Che Sepachendera.

Reka bentuk istana lama dikenali 'Istana Kampung Baru' dibina pada 1882 ini, menyerupai reka bentuk Siam yang mana ia dibina selepas Baginda menaiki takhta.

Antara putera puteri yang diputerakan di istana terbabit, termasuklah Tunku Ibrahim (Tunku Sulung), Tunku Rokiah, Tunku Zamzam dan Tunku Kasim (Tunku Laksamana).

Istana lama jadi sekolah

Berdasarkan catatan batu penerangan di hadapan binaan terbabit, istana lama ini masih didiami selepas kemangkatan Che Sepachendera, apabila dijadikan sebuah sekolah.

Tunku Mansor memegang papan tanda mengenai istana
Menurut Tunku Mansor Tunku Kasim, peringkat permulaan istana terbabit didakwa menjadi keutamaan buat golongan kerabat diraja mendapat pendidikan awal mereka.

"Tidak lama kemudian, ia dijadikan sebuah sekolah Inggeris dikenali sebagai 'Sekolah Perempuan Kampung Baru' pada 1922 di atas usaha Tunku Ibrahim yang mementingkan sistem pendidikan.

"Apabila sekolah dipindahkan ke Jalan Langgar, dekat sini, sebagai Sekolah Menengah Sultanah Asma. Ia dijadikan pula Sekolah Rendah Tunku Abdul Halim dan Cawangan Jabatan Pendidikan Negeri Kedah," katanya.

Tunku Mansor memasuki istana yang dahulunya dijadikan pejabat sekolah
Tunku Mansor berkata, istana yang pernah menjadi tempat kelahiran ayahandanya, Tunku Kasim merupakan antara lambang kemegahan kerana keunikan reka bentuk dan ukirannya.

Hampir 80 peratus kerosakan

Namun, beliau yang juga Ahli Kerabat Diraja Kedah merangkap cucunda kepada Sultan Abdul Hamid memaklumkan istana lama berkenaan terbiar kosong semula tidak lama kemudian.

Bahagian sisi Istana Sepachendera
"Kini, istana lama berhampiran Sungai Raja, di sini, dilihat tidak berpenghuni mahupun digunakan lagi. Lebih kurang 60 hingga 80 peratus struktur binaannya kian rosak," katanya.

Antara struktur dalaman dan luaran istana lama rosak termasuklah bahagian bumbung, tiang rusuk, tingkap dan serpihan lantai akibat di cengkam sejenis pokok menjalar.

Tinjauan Sinar Harian melihat istana lama berkenaan sudahpun menjadi sarang kelawar, manakala lantai bangunan tiga tingkat sudah mereput di bahagian tertentu.

Bahagian depan istana

Sebagai cucunda kepada Baginda, katanya,  mereka sememangnya meminta perhatian pihak bertanggungjawab supaya bangunan tinggalan sejarah terbabit dapat dikekalkan.

Miliki nilai sejarah tinggi

Untuk itu, beliau bersama rakan pengkaji sejarah sedaya upaya mempertahankan istana daripada ditelan zaman antaranya termasuklah cuba membangunkan rekaan asal bangunan.

Secara persendirian, katanya, perasaan kecintaan terhadap warisan sejarah sedemikian sudah menjadi darah dagingnya, maka beliau berharap kemungkinan tersebut jadi kenyataan.

Reka bentuk unik tingkap istana
"Dalam usaha memelihara dan memulihara warisan bernilai tinggi ini, kami mengambil masa tiga tahun untuk menyiapkan lukisan reka bentuk asal istana terbabit," katanya.

Melalui sejumlah peruntukan kos kewangan, katanya, pihak mereka meminta kerja membaik pulih istana dipercepatkan kerana ia dikhuatiri lenyap suatu hari nanti.

Ada kekangannya, katanya, bagaimanapun mereka harap dapat bekerjasama dengan jabatan berkaitan seperti muzium menggunakan pendekatan tertentu bagi mengatasi cabaran ini.

Katanya, mereka sedia mempertahankan istana lama yang berpotensi menjadi warisan sepanjang zaman terbabit demi memberi peluang generasi masa depan menghayati nilai sejarahnya.

                                 -TAMAT-

Link: http://www.sinarharian.com.my/edisi/utara/istana-khas-buat-che-sepachendera-1.282082

No comments:

Post a Comment